Sunday, July 1, 2018

Tips Berpantang

SARANAN BERGUNA
Jika anda terpaksa berpantang bersendirian di rumah ikuti panduan di bawah bagi membantu melancarkan perjalanan harian anda:

Bangun awal
Jangan tidur sehingga waktu tengah hari. Bangun awal supaya banyak perkara boleh diselesaikan. Selepas bangun terus mandi jangan bertangguh. Gunakan mandian herba kemudian berstokin selepas mandi.

Pakai bengkung
Pakai bengkung moden agar anda cepat siap. Jika tidak mahir minta dengan suami sebelum dia ke tempat kerja.

Sarapan
Ambil sarapan ringkas dan mengenyangkan sebaiknya sehingga ke waktu makan tengahari.

Biarkan rumah bersepah
Biarkan rumah bersepah sekiranya anda tidak mampu mengemaskannya. Jika ada anak yang lebih besar minta dia melakukannya. Jika tidak tunggu sehingga suami pulang ke rumah.

Cari tukang urut
Sebelum bersalin sepatutnya anda berbincang dengan suami mengenai penjagaan ketika dalam pantang dan mencari tukang urut. Pastikan si kecil diberikan susu secukupnya sebelum anda melakukan urutan.

Mandikan bayi
Mandikan bayi di antara jam 10 hingga 11 pagi. Letakkan besen mandi bayi di atas meja atau tempat tinggi separas pinggang. Isikan air mengguna gayung. Campur sikit air panas. Mandikan bayi dengan cara berdiri. Jangan cuba-cuba untuk mencangkung. Pada hujung minggu, mintalah suami memandikan bayi.

Siapkan baju bayi
Sebelum mandi letakkan baju dan peralatan mandian yang akan digunakan. Ini bagi mengelak anda kelam-kabut menyediakannya selepas memandikan bayi.

Susukan selepas mandi
Susukan bayi selepas mandi agar bayi tidak merengek dan dapat tidur lena. Apabila bayi lena memudahkan anda melakukan kerja rumah yang tertangguh. Namun harus diingat anda juga memerlukan tidur yang mencukupi ketika dalam tempoh berpantang.

Masak makan tengah hari
Masak sekali untuk makan malam. Pilih menu yang sesuai untuk semua orang dalam rumah. Jika berkemampuan anda boleh memesan menerusi perkhidmatan makanan dalam pantang dan terus dihantar ke rumah.

Basuh kain
Minta pertolongan suami. Ingat jangan sesekali cuba menunjukkan yang anda ini hebat dan kuat. Sesekali suarakan apa yang anda inginkan. Lebih mudah, hantar saja ke dobi.

Simpan nombor telefon penting
Pastikan anda menyimpan nombor telefon penting seperti polis, hospital atau klinik desa berdekatan. Ini kerana sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini anda tidak panik dan tahu siapa yang harus dihubungi segera.

Sebaik-baiknya dalam tempoh mengandung selama sembilan bulan ia adalah masa untuk anda dan suami berbincang mengenai penjagaan selepas bersalin. Anda boleh membuat senarai dan mengikut rancangan yang sudah anda sediakan. Paling utama elakkan tekanan ketika dalam pantang. Raikan kelahiran si kecil dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. -Siti Zarinah Sahib

docedok dari harianmetro
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:28 PM

No comments:

Post a Comment

ANAK KU ANAK ASUHAN PASTI

  Macam-macam hal berlaku dimalaysia ni tapi saya hanya berminat untuk ulas isu ni. Pendidikan awal kanak-kanak di Pusat Asuhan Tunas Isla...