Sebelum anda semua mula membaca hantaran dari saudari dari FB kita. Suka saya ingin menambah point yang belum disenaraikan. Antaranya adalah Pinjaman Perumahan, Pinjaman Takaful Perumahan, Bill Syabas, Bil TNB, Bil Indahwater dan sekiranya masih ada lagi mohon warga waya senaraikan. ini adalah peringatan buat kita yang hidup serta ilmu yang perlu kita ada.. Suka juga saya ingin maklum, bukan hanya uruskan harta pusaka tapi kita wajib selesaikan faraid2 tersebut selain daripada hutang simati. Wallahualam..
Sila la baca pengalaman untuk menguruskan urusan-urusan yang dikongsikan oleh saudari Raha My
Amaran : post ini panjang dan akan bertambah dari semasa ke semasa.
Khidmat #1 : Pendaftaran Kematian
Pendaftaran kematian perlu dibuat dalam tempoh 7 hari dari tarikh kematian di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Untuk arwah, saya lakukan di JPN Batu Pahat yang berdekatan dengan rumah mertua.
Bawa bersama:
- kad pengenalan (asal dan satu salinan) arwah dan juga pemaklum (saya)
- Permit mengubur dan laporan post mortem jika akibat kemalangan (asal dan satu salinan).
Daftarkan kematian.
Sediakan tisu bersama kerana syahdu itu hanya yang mengalaminya akan tahu.
Cadangan saya, buat banyak salinan kad pengenalan arwah kerana kad pengenalan asal akan diambil oleh JPN dan tidak dikembalikan.
Salinan kad pengenalan arwah mungkin akan diperlukan untuk urusan-urusan lain juga.
Khidmat #2 : Penutupan Akaun Bank/TH/ASB
Untuk apa-apa urusan ini jika bukan isteri/suami yang menguruskannya, perlu bawa bersama bukti pertalian sama ada salinan sijil kelahiran (untuk ibu/bapa/adik beradik). Jika pasangan, mesti bawa bersama sijil nikah.
Maklumat bank akaun/buku akaun tidak penting untuk dibawa bersama kerana semuanya ada dihujung jari.
Arwah suami saya ada beberapa bank akaun dan beberapa kad ATM. Ada yang saya tahu nombor pin dan ada juga yang tidak saya ketahui. Bagi yang saya tahu, telah saya keluarkan wangnya sebelum maklumkan kepada bank untuk ditutup. Tak salah ke? Biarlah Allah yang tentukan kerana wang itu amat berguna untuk saya selesaikan hutang arwah dan juga kegunaan anakanda.
i. RHB
Sangat susah nak tutup akaun RHB. Perlu ke home branch. Oleh kerana sudah tiada wang didalamnya, maka saya putuskan untuk biarkan sahaja menjadi dormant.
ii. ASB
Boleh mohon khairat kematian juga di ASB bergantung kepada amaun simpanan yang ada. Bolehlah lepas belanja dapur. Pastikan bawa bersama sijil kematian, sijil nikah, dan kad pengenalan waris (asal dan salinan). Khairat kematian dibayar tunai sebanyak RM200. Jumlah sebenar khairat kematian bergantung kepada jumlah simpanan.
RM1 - RM5000 : RM200
RM5001 - RM10000 : RM1,000
Lebih RM10,000 : RM2,000.
Baki khairat kematian (jika ada dibayar secara cek).
Jika simpanan ASB kurang RM5,000 pengeluaran disebabkan kematian boleh dibuat terus tanpa memerlukan pelantikan Pentadbir Harta. Jika lebih, perlu melalui proses pembahagian harta pusaka.
Oleh kerana arwah ada ambil ASB loan, maka perlu selesaikan dahulu bersama bank peminjam.
Nanti akan disambung catatan ini.
18 Feb 2019. Setelah dimaklumkan bahawa pinjaman sudah diselesaikan, maka saya ke pejabat/kaunter ASB untuk urusan selanjutnya iaitu mendapatkan maklumat baki akhir akaun ASB arwah. Perlu kemukakan sijil kematian, sijil nikah/bukti hubungan suami/isteri atau adik beradik etc dan juga salinan kad pengenalan pemohon (saya). Bayaran untuk mendapatkan maklumat baki bagi tujuan pembahagian pusaka adalah RM10. Setelah saya mendapat maklumat ini, saya perlu uruskan pula bersama harta pusaka yang lain dibawah pentadbiran pusaka kecil.
20 Sept 2022
Urusan telah selesai. Sebaik mendapat surat kuasa dari Pejabat Tanah, saya terus ke ASB dan urusan diselesaikan dengan segera. Bawa bersama dokumen seperti IC dan surat kuasa dari pejabat tanah.
Jadinya untuk pengeluaran akibat kematian bagi ASB/Akaun Amanah dibawah PNB, perlu datang ke PNB sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali.
1. Maklumkan kematian dan tuntut khairat kematian. Dapatkan maklumat jika arwah ada membuat pinjaman ASB etc. Jika ada, uruskan segera bersama bank peminjam.
2. Dapatkan salinan pengesahan baki akaun (selepas akaun pinjaman ditutup - jika ada pinjaman) dan uruskan sama ada melalui Amanahraya, Pejabat Tanah (pusaka kecil) atau Mahkamah Tinggi.
3. Kemukakan surat kuasa (Power of Attorney) kepada ASB untuk agihan dibuat mengikut faraid/persetujuan waris. Nanti apabila sudah ada surat kuasa saya akan kemaskini semula.
iii. MAYBANK
Untuk MBB arwah ada beberapa akaun di beberapa cawangan berbeza. Sangat mudah disini kerana boleh selesaikan dicawangan yang sama. Pastikan bawa salinan sijil kematian, kad pengenalan, sijil nikah mencukupi kerana satu salinan untuk setiap branch yang berbeza.
Bagi akaun dengan jumlah kurang RM5,000 di dalam satu akaun, hanya perlu berikan maklumat nombor akaun MBB waris dan nanti wang akan dikreditkan kedalam akaun waris. Tak perlu melalui proses pembekuan akaun dan sebagainya. Mudah. Jadi, pastikan anda hanya ada RM5ribu sahaja dalam akaun. Kalau lebih dari RM5ribu masih perlu lalui proses pusaka seperti biasa.
Arwah suami juga ada mengambil pinjaman ASB di Maybank. Jadi, uruskan pula di bahagian Pinjaman. Bawa bersama dokumen sokongan asal dan salinan seperti sijil kematian, sijil nikah, permit mengubur, laporan polis dan post mortem (jika kemalangan), salinan kad pengenalan arwah dan juga waris.
Tujuan saya uruskan pinjaman dengan segera supaya bayaran bulanan dapat dihentikan dan tuntutan kepada pihak insuran dapat dilakukan dengan segera.
Ini juga boleh dibuat dimana-mana cawangan dan akan dihantar ke cawangan dimana akaun dibuka.
20 Sept 22
Kelulusan diperolehi dalam sebulan atau kurang. Kena follow up untuk dapatkan status terkini.
Sebagai peringatan juga, catatkan dan tanyakan juga nombor akaun arwah beserta baki yang ada didalam akaun. Ini bagi memudahkan kita mengenalpasti wang yang dimasukkan di dalam akaun. Silap saya kerana tidak membuat catatan menyebabkan saya tidak pasti dan perlu bertanya kepada Bank adakah akaun sudah ditutup. Bank juga tidak/belum mengemukakan nota kredit/credit advice kepada saya hingga hari ini (15 Jan 19).
18 Feb 2019, saya sudah dapat pengesahan lisan bahawa akaun pinjaman arwah suami sudah ditutup. Akaun berjaya ditutup setelah saya buat sedikit bayaran kerana rupanya masih ada outstanding payment yang perlu diselesaikan sebelum akaun ditutup, dan pihak insurans membuat bayaran kepada bank.Jadi, cash adalah sangat penting kerana akan ada sahaja bayaran-bayaran yang mungkin kecil jumlahnya, tapi jika tidak dibayar tindakan selanjutnya tidak dapat diambil.
iv. TABUNG HAJI
Kalau muslim, hampir pasti akan ada akaun TH.
Urusan di TH pun mudah sahaja. Pastikan bawa bersama dokumen-dokumen sokongan seperti biasa (IC kedua-dua arwah dan waris, sijil kematian. Sijil nikah tidak diambil tapi perlu dibawa bersama untuk semakan). Di TH dokumen sokongan yang diperlukan adalah DUA salinan. Pastikan bawa lebih.
Ada juga deklarasi daripada waris yang setelah wang diterima (dimasukkan dalam akaun TH waris/cek) akan diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut persetujuan waris/faraid. Jadi, TH sudah tiada urusan untuk pastikan agihan dibuat mengikut syarak.
Borang permohonan dihantar ke HQ untuk diproses dan wang akan dikreditkan dalam akaun TH dalam tempoh sebulan.
Sekali lagi, semak berapakah baki yang ada di dalam akaun TH arwah bagi memudahkan pengenalpastian jumlah yang akan dimasukkan di dalam TH pemohon.
v. CIMB
Saya ke CIMB Bank dengan harapan proses penutupan akaun yang mudah seperti Maybank. Ya la, bank yang besar dan banyak cawangan kan. Tapi, hampa. Rupa-rupanya hampa. Bukan setakat perlu ke home branch yang jauhnya berkilometer dari rumah, saya juga perlu bawa bersama dua orang saksi hanya untuk menutup akaun arwah.
Oleh kerana amaun yang ada di dalam akaun sangat minimum, maka saya memutuskan hanya akan menuntutnya selepas 7 tahun (unclaimed money).
Pokoknya, tak payahlah buka akaun CIMB.
Khidmat #3 : Upah Haji dan Ibadah korban
Sebaiknya, bagi yang masih hidup dan belum menunaikan haji, berwasiatlah kepada waris supaya dilaksanakan haji bagi pihak arwah.
Untuk arwah suami, sudah mendaftar dengan TH tapi masih belum rezeki untuk tunaikan haji. Makanya, satu lagi khidmat saya kepada beliau adalah untuk laksanakan Upah Haji bagi pihak beliau pada musim haji akan datang (2019) dan pada masa yang sama kami juga bercadang untuk laksankan ibadah korban bagi pihak arwah. Mana nak dapat duit?. Lakukanlah dan selesaikan khidmat#2 secepat mungkin. Insya Allah dibukakan pintu rezeki. Ustaz Ahmad Salahuddin Harun, akak book satu slot ya musim haji 2019.
Khidmat #4 : LHDN
Mungkin ada yang tak nampak keperluan semakan ini. Tapi, saya pun tak mahu arwah ada berhutang lagi dengan sesiapa. Jadi LHDN pun masuk juga dalam senarai. Mana tahu ada tax credit, boleh bantu selesaikan hutang atau buat upah haji.
Berdasarkan semakan, arwah tiada berhutang dengan LHDN dan LHDN pun tiada berhutang dengan arwah. No further action kerana sistem di LHDN ada link dengan JPN jadi tanpa pemberitahuan puan LHDN boleh tahu pembayar cukai sudah meninggal.
Khidmat #5 : SEMAKAN HUTANG
Ada sesetengah orang, sangat tersusun kemas dan semua dokumen tersusun rapi. Bila berlaku kematian, mudah saja nak urus. Semua Pentadbir Pusaka (Wasi) yang uruskan. ada juga orang, suka berahsia dan tak ada rekod yang proper. Tak kisahlah arwah orangnya yang mana satu, untuk pastikan tak ada hutang-hutang arwah yang kita terlepas pandang, boleh buat semakan hutang dengan CCRISS.
Caranya, bawa dokumen sokongan berkaitan (seperti biasa, sijil kematian, sijil nikah, ic) dan bawa ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk buat semakan.
Saya baru dapat maklumat semakan boleh dibuat tapi saya belum buat lagi kerana saya belum boleh bermusafir (sedang beriddah dan berkabung). Akan saya kemaskini kelak selepas saya berjaya menyemak.
Satu lagi, saya juga buat semakan di JPJ untuk tahu jika arwah ada hutang beli kenderaan.
Khidmat #6 : KWSP
Seperti biasa, dokumen sokongan asal dan salinan mesti dibawa. Semakan akan dibuat untuk pastikan arwah ada membuat penamaan. Oleh kerana arwah suami saya bekerja sendiri, tak banyak wang disimpan di dalam KWSP. Tapi, KWSP ada khairat kematian sebanyak RM2,500. Jadi, walaupun tak banyak tetaplah berbaloi untuk diselesaikan.
Ada beberapa syarat perlu dipatuhi sama ada dari segi amaun simpanan dan juga sama ada penamaan dibuat atau tidak.
Arwah suami tidak membuat penamaan tetapi amaun simpanan kurang dari RM25k (kalau tak silap), jadi tetap boleh diproses dan bayaran dimasukkan di dalam akaun dalam tempoh 21 hari bekerja.
Jangan lupa bayarkan zakat apabila dapat wang tu nanti ya.
Khidmat #7 : PERKESO
Ada yang cadangkan semak dengan PERKESO mana tau boleh mohon khairat kematian/pencen ilat. Tapi arwah tidak mempunyai tempoh bekerja yang mencukupi (24 months) untuk layak dipertimbangkan apa-apa jenis bantuan. Anyway, worth trying.
Khidmat #8 : Semakan SAMAN
Sebagai pemandu kenderaan tegar, pasti ada kalanya terbawa laju. Maka nya saya juga ada membuat semakan saman PDRM untuk pastikan semua saman dibayar.
Kaedah semakan mudah sahaja. Hanya sms POLIS SAMAN NO KEND/NO IC dan hantar ke 15888.
P/s : nota ini ditulis supaya boleh dijadikan panduan untuk mereka yang memerlukannya. We never know.